Memohon Maaf, Memaafkan Dan Tidak Dimaafkan. Anda Di Posisi Mana?


Bicara tentang kemaafan, memohon maaf, memaafkan, dimaafkan dan tidak dimaafkan adalah asam garam kehidupan insan yang dilumrahkan. Adakalanya alpa dan melakukan kesilapan.

Memohon maaf adalah memohon kepada insan tertentu untuk menghalalkan segala kelakuan yang telah kita lakukan kepadanya.

Namun, elemen maaf dan posisi kita dalam situasi maaf itu melibatkan emosi dan toleransi yang berbeza.

Memohon maaf kerana kesilapan berpunca daripada kita sendiri merupakan satu realiti perlakuan yang memerlukan sebanyaknya keberanian dan kesedaran.

Jika diselami kembali, untuk memohon kemaafan selepas melakukan sesuatu kesilapan, seseorang individu perlu memangkas ego dalam diri supaya ada kesedaran yang diri ini bersalah kerana tidak menunding jari kepada pihak lain adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan.

Keikhlasan dan keberanian yang lebih kuat sangat diperlukan apabila insan yang bersalah ingin mula menyusun langkah berhadapan dan mengaku kesalahan lalu memohon maaf daripada orang yang telah dianiaya.

Tambahan lagi, memohon maaf bagaikan memperjudikan maruah di mana kita perlu bersedia dengan sebarang risiko jika maaf tidak diterima dan mungkin yang lebih parah jika dihina dan dimaki apabila mengaku kesalahan diri.

Namun Allah Maha adil, diberi ganjaran pahala dan kemaafan bagi mereka yang menyedari kesalahan diri dan bertaubat.

Apa yang lebih indah adalah diberiNya ketenangan jiwa dan ketulusan hati dalam membaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah.

Mereka yang sentiasa memenangkan diri sendiri sungguhpun dirinya bersalah akan sentiasa hidup dalam kelambu kelam dosanya.

Hatinya akan meracau mencari manusia untuk dituding jari atas kesalahan yang berpunca daripada diri sendiri. Hal ini akan menyebabkan rakan, ahli keluarga dan jiran sekeliling berasa jauh hati.

Adakalanya, dalam satu situasi secara realitinya kita tidak bersalah sepenuhnya atau punca utama pergaduhan atau konflik bukan daripada kita.

Tapi ajaibnya sifat memohon maaf ini, walaupun kita bersalah kecil sahaja tetapi kita memulakan langkah dahulu memohon maaf, maaf kita itu mungkin akan dibalas dengan permohonan maaf yang lebih besar daripada orang yang sebetulnya bersalah.

Inilah gambarannya. Mengaku salah bukan bermakna kalah, tetapi membawa seribu satu makna kepada satu pertalian persaudaraan. Hanya hati yang ikhlas dapat menyentuh hati insan lain.

Jadi ikhlaskanlah hati kerana walaupun tidak mampu dilihat oleh insan lain tetapi Allah Maha Melihat dan Dialah penguasa kepada hati-hati hambanya.

Berbeza pula dalam konteks jika insan lain memohon maaf kepada kita. Selepas segala tengkingan, penipuan, fitnah atau hinaan dilemparkan kepada kita mampukah kita memaafkan?

Persoalan yang menjadi dilema atau igauan dalam seharian kita. Pelbagai tahap kesilapan manusia terhadap manusia, ada yang memfitnah, menipu, mencuri, menganiaya amanah, meragut maruah dan pelbagai lagi.

Adakalanya segala perbuatan tersebut memberi impak yang mendalam dan berpanjangan dalam kehidupan. Terbayarkah segala penderitaan dengan hanya satu kemaafan?

Sebelum menentukan jawapannya, tuluskan hati dan dekatilah Allah.

Mohon petujuk dan ketenangan jiwa daripadaNya kerana hanya dengan keredhaan dan ketenangan jiwa yang diberikan olehNya kita mampu hidup dengan aman walaupun dengan tragedi hitam yang lalu.

Kerana Allah Maha Mengetahui, Dia tidak akan memberi satu dugaan yang tidak mampu buat hambanya.

Terima segala ketentuannya kerana itu adalah kemampuan kita dan memaafkan adalah jawapan yang akan ditemui di penghujung pencarian.

Mungkin kita tidak ada peluang untuk kembali semula ke zaman sebelum segala tragedi hitam berlaku namun dengan kemaafan yang dihulurkan telah menjadikan kita insan yang lebih mulia dan kuat semangat daripada hari-hari sebelumnya.

Memaafkan jua tidak mampu mengembalikan keadaan kepada asal tetapi ganjaran yang lebih indah akan menjelma kerana kita akan mampu meneruskan hidup ini dengan tenang dengan tuntunan Allah.

Hilang segala perasan dendam yang hanya meresahkan diri. Lenyap segala titisan air mata kerana redha dengan ketentuanNya.

Bangkitkanlah semangat waja mengharungi alam fana ini untuk bekalan di akhirat. Hidup ini ada tenang dan ombaknya. Jika ombak datang, makin kuatlah genggaman kita supaya tidak terhanyut dek tarikan ombak.

Begitulah juga kita manusia, jika diuji Allah, perlulah makin kuat iman dan kebergantungan kita kepada Allah barulah kita tidak terhanyut oleh hasutan syaitan.

Difikirkan kembali, bukan mudah untuk memaafkan terutama sekali jika konflik melibatkan maruah, jadi adakalanya kita tidak mampu memaafkan insan itu serta merta.

Ambillah masa sewajarnya umtuk memikirkan kembali segalanya dengan setulus hati agar satu hari nanti mampu untuk mengukirkan kemaafan itu.

Kerana orang yang tidak mampu memaafkan orang lain adalah kerana sebenarnya orang itu tidak dapat memaafkan dirinya sendiri.

Muhasabahlah diri kerana kehidupan perlu diteruskan, perhentian rehat hanya diakhirat.

Mereka yang memaafkan adalah lebih sukar daripada memohon kemaafan. Melupakan adalah salah satu resepi dalam memberi kemaafan.

Renung-renungkanlah.

0 Response to "Memohon Maaf, Memaafkan Dan Tidak Dimaafkan. Anda Di Posisi Mana?"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel